Al-Quran Kitab Suci
PERISTIWA agung dalam sejarah umat Islam yang berlaku pada Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.
Perkara itu dinyatakan dalam al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Nuzul adalah perkataan Arab yang memberi makna turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada satu tempat ke tempat yang lain, manakala al-Quran bermaksud bacaan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca manusia.
Al-Quran juga dikatakan himpunan kerana dalam kitab suci itu terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.
Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasulullah SAW sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama 23 tahun. Menurut riwayat daripada al-Hakim, al-Baihaqiy dan al-Nasaei daripada Ibn Abbas, beliau menjelaskan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun.”
Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun (13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah). Ayat dan surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah.
Tujuan Allah menurunkan secara beransur-ansur adalah bagi memenuhi objektif berikut:
1. Supaya lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan jika suruhan dan larangan itu diturunkan sekali gus dalam kadar yang banyak.
Hal itu disebut oleh Bukhari daripada riwayat ‘Aisyah: “ Antara ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ia tidak dapat dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)
2. Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.
3. Memudahkan hafalan. Orang musyrik menanyakan mengapa al-Quran tidak diturunkan sekali gus, seperti disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus?” Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu…” (Surah Al Furqaan, ayat 32)
4. Antara ayat itu adalah jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, seperti dikatakan oleh Ibnu ‘Abba, “Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran diturunkan sekali gus.
Penurunan al-Quran ini pula berlaku dalam berbagai bentuk. Menurut Safiyurrahman al-Mubarakfuriyy dalam al-Rahiq al-makhtum, Nabi Muhammad SAW diwahyukan mengikut pendekatan berikut :
1. Menerusi mimpi yang benar ( al-Rukya al-Sadiqah ). Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya Baginda berasa bahawa itu sudah berada di dadanya.
Contohnya, Nabi SAW pernah bersabda mengatakan: “Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang ditetapkan Allah.”
2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya dan peristiwa seperti ini sering disaksikan sahabat.
3. Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, walaupun turunnya wahyu itu pada musim dingin. Ada ketikanya, unta baginda terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat.
Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: “Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Aku lihat Rasulullah SAW ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian selepas selesai turunnya wahyu, barulah Baginda kembali seperti biasa.”
4. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam rupanya yang sebenar seperi dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha.” (Surah an- Najm, ayat 13 dan 14)
5. Malaikat mewahyukan kepada Nabi dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj.
Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting antaranya ialah sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW. Al-Quran adalah bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, sekali gus menjadi bukti ia firman Allah bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW sendiri.
Rasulullah SAW menjadikan al-Quran sebagai senjata bagi menentang kafir Quraisy. Kita dapati mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa yang indah dalam ucapan serta sajak mereka.
Al-Quran adalah sumber hukum dan aturan hidup. Ayat al-Quran mengandungi peraturan mengenai hukum siasah negara, sosial, pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi permasalahan hidup yang dihadapinya.
Sememangnya penyelesaian diberikan syariat Islam adalah penyelesaian sebenar kerana ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia. Kemampuan syariat Islam menyelesaikan pelbagai permasalahan menjadikan al-Quran mukjizat abadi paling menonjol di muka bumi.









No comments:
Post a Comment